Minggu, 06 Maret 2011

Konsert Maher Zain Menghiburkan

SELEPAS membuat persembahan pada Oktober 2010, Maher Zain seakan sukar menolak hasrat hatinya untuk kembali semula ke bumi Malaysia bagi bertemu peminat lalu meluncurkan Maher Zain - Live in Concert.
Berlangsung selama dua hari dalam suasana yang cukup mendamaikan pada hujung minggu lalu, Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor seakan bertukar menjadi tapak berlangsungnya pesta keluarga, hujung minggu lalu.
Punya kelompok peminat dari pelbagai lapisan masyarakat, konsert seolah-olah tidak terarah pada jalur hiburan dakwah semata-mata.
Dari satu sudut lain, dapat dilihat ia menjadi medan untuk saling mengeratkan silaturrahim.
Satu pemandangan yang cukup indah apabila menyaksikan ibu dan ayah bersama membawa anak-anak ke konsert untuk menyaksikan Maher melantunkan vokal menerusi pilihan i lagu-lagu dakwahnya.
Nah.. siapa kata hiburan itu salah? Ternyata Maher Zain mampu menukar persepsi negatif yang selama ini kerap membelenggu akal masyarakat kita.
Persembahan pembukaan dimulakan oleh kumpulan nasyid popular tanah air, In-Team.
Kelima-lima anak muda yang menaungi kumpulan ini sempat menghiburkan penonton menerusi seleksi lagu hits mereka yang didendangkan secara medley.
Antaranya Dia Muhammad, Kasih Kekasih, Nur Kasih, Rabiatul Adawiyah dan Setanggi Syurga.
Usai persembahan In-team, Maher kemudiannya muncul membuka tirai persembahan tepat pada pukul 8.45 malam.
Diiringi kumpulan pemuzik tempatan dan antarabangsa yang cukup hebat, penyanyi berusia 28 tahun ini kelihatan cukup bertenaga menyampaikan lagu Always Be There.
Menambat hati lebih 7,000 peminat yang hadir menerusi enam lagu hitsnya, Maher Zain ternyata bijak menghangatkan malam yang dingin apatah lagi di luar stadium, bumi basah disimbah air hujan sejak petang hari.
penuh perasaan
Terbuai fikiran apabila mendengar bait-bait lirik lagu Ya Nabi Salam Alaika, Thank You Allah, Palestine Will Be Free dan Hold My Hands ketika Maher berdiri di atas pentas mengalunkannya dengan penuh perasaan.
Bukan itu sahaja, kelainan juga turut ditampilkan oleh Maher apabila dia membuat kejutan berduet dengan vokalis kumpulan Padi dari Indonesia, Fadly menerusi lagu berhantunya, InsyaAllah.
Tidak terhenti di situ, Maher kemudiannya berkongsi pentas dengan penyanyi terkenal yang dijemput khas dari Macedonia, Mesut Kurtis.
Memilih lagu Never Forget sebagai lagu duet antaranya dengan Mesut, gandingan kedua-dua mereka ternyata tampak serasi.
Pentas juga tidak dibiarkan kosong apabila Maher dan Mesut turut memanggil beberapa orang kanak-kanak comel yang muncul dari belakang pentas untuk menyanyi bersama-sama mereka.
Usai lagu tersebut dialunkan, Maher kemudiannya ‘menghilangkan diri’ untuk tempoh setengah jam di belakang pentas. Namun, penonton tidak dibiarkan dalam keadaan kebingungan.
Sebaliknya isi stadium dihiburkan dengan persembahan Mesut menerusi lagu Beloved dan Burdah yang dipetik daripada album pertamanya yang berjudul Salawat.
Kemunculan semula untuk sesi kedua persembahan selepas Mesut disambut dengan hiruk-pikuk seisi stadium yang menjerit memanggil nama Maher.
Kali ini kemunculannya lebih gamat dengan kejutan.Maher kali ini berduet pula dengan penyanyi yang diterbangkan khas dari Kanada, Irfan Makki yang ternyata punya aura tersendiri ketika membuat persembahan.
Menerusi lagu Allahi Allah Kiya Karo, Maher dan Irfan menghiburkan peminat menerusi lagu yang cukup padat dengan rentak dan elemen ala Bollywood itu.
Sudah tentulah Irfan tidak punya masalah untuk menyanyikan lagu sebegitu apalagi dalam dirinya sudah terkandung darah Pakistan yang diwarisi kuat daripada ayah dan ibunya.
Berentak R&B, Irfan berjaya membuatkan penonton menjerit ‘Wow’ menerusi persembahan lagu Waiting For The Call, Mabrouk dan Mother pada persembahan pembukaan konsert.
Dalam pada itu, tidak mahu menghampakan peminat-peminat, Maher kemudian meneruskan nyanyian menerusi pilihan lagu ‘wajibnya’ The Chosen One, Open Your Eyes, Barakallah, For The Rest Of My Life termasuk InsyaAllah dalam bahasa Melayu.
Lebih istimewa, Maher turut mendendangkan sebuah lagu baru berjudul Freedom yang menurut empunya diri, ia baru sahaja dihasilkan seminggu sebelum konsert berlangsung, eksklusif kepada semua peminatnya di sini.
Kata Maher lagi, lagu tersebut adalah ekspresi dirinya terhadap revolusi yang berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. Tirai persembahan dilabuhkan pada pukul 11.40 malam.
Sebagaimana janji Maher sebelum ini, dia mahu menjadikan konsertnya itu sebagai kenangan yang akan diingati sepanjang masa oleh peminat.
Lebih utama, Maher berjaya membuktikan bahawa Islam juga punya sisi hiburan yang tidak membosan dan berhibur dengan emosi terkawal.
Ia sekali gus mematahkan pandangan enteng sesetengah pihak yang mengatakan Islam tidak tahu berhibur atau Islam itu membosankan.
Ternyata, Maher berupaya mengangkat kualiti hiburan dakwah Islam dalam konteks antarabangsa yang lebih luas dan diterima ramai. Tahniah.
http://liriksemualagu.blogspot.com/2011/03/konsert-maher-zain-menghiburkan.html

1 komentar:

Anonim mengatakan...

cahe
lagu - lagu maher zain bagus-bagus aku senang mendengarkan dan menyanyikannya